PEMBAYARAN Bantuan Khas Covid-19 (BKC) bermula 6 September ini menunjukkan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap menunaikan janji kerajaan terdahulu menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pembayaran bantuan tersebut akan dapat melegakan dan sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan dan kos sara hidup golongan penerimanya.
“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan pembayaran Fasa 1 dan 2, Bantuan Khas Covid-19 (BKC) berjumlah RM3.1 Bilion secara berperingkat itu yang disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan pimpinan beliau.
“Pembayaran dua fasa membabitkan golongan iaitu miskin tegar, B40 dan M40 serta bujang itu juga mencerminkan kecaknaan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia terhadap rakyat berpendapatan rendah dan juga selaras dengan konsep kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mahdzir, pemberian BKC ini tepat pada masanya kerana golongan M40 dan B40 amat memerlukan bantuan ekoran terkesan pandemik Covid-19.
“Berdasarkan angka penduduk luar bandar yang berjumlah 7.61 juta orang yang mana sebahagiannya juga merupakan tergolong dalam kelompok Miskin Tegar, B40 dan M40, penyaluran BKC dilihat sebagai tepat pada masanya dalam usaha kerajaan meringankan beban golongan terbabit yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumum pemberian BKC yang terlewat sebulan akan mula dikreditkan ke akaun penerima secara berperingkat mulai 6 September ini. – Malaysiapost