Ellie Suriaty mengaku anak lapor polis tolak vaksin

Ellie Suriaty mengaku anak lapor polis tolak vaksin

YA, mereka anak saya, kata pelakon dan pengarah Ellie Suriaty. Pengakuan Ellie itu menjawab teka-teki netizen mengaitkan pelajar yang membuat laporan polis baru-baru ini adalah anak kepada seorang artis.

Menerusi hantaran di Instagram, Ellie mengaku dua daripada tiga pelajar yang membuat laporan polis menolak vaksin itu adalah anaknya.

“Ya mereka anak saya, Azrell Omar Iskandar, 17 tahun dan Nur Azreen, 12 tahun bersama Hanif, 17 tahun telah membuat laporan polis sebagai covering report berkenaan hak individu untuk menolak vaksin experimental Covid-19 ke atas pelajar sekolah berumur antara 12-17 tahun. Tarikh 30 Ogos 2021 jam 2.30 petang,” katanya.

Ellie menjelaskan, dia mendidik anak-anaknya supaya berani menghadapi hidup dan jangan takut dengan fitnah akhir zaman.

“Merdeka 31 Ogos. Saya mendidik anak-anak supaya berani menghadapi hidup. Jangan takut dengan Fitnah Akhir Zaman. Nilai kehidupan tidak boleh dibeli dengan tawaran sepotong roti atau segunung emas. Tauhid. Harapan hanya pada Allah SWT. Allahuakbar,” katanya.

Isnin lalu, tiga pelajar itu tampil membuat laporan polis kerana enggan divaksin ekoran bimbang jika berlaku perkara tidak diingini pada diri mereka.

Menurut Azrell Omar, apa yang berlaku terhadap selepas menerima vaksin, semuanya atas tanggungan diti sendiri, justeru dia berhak menolak daripada menjadi bahan eksperimen dengan dicucuk vaksin.

“Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan saya melalui suntikan vaksin ini yang masih lagi di tahap ujian klinikal,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Taman Melawati. – Malaysiapost

Komen