Hamzah sambut baik kesudian pembangkang wujud kestabilan politik
DATUK Seri Hamzah Zainuddin menyambut baik tindakan pembangkang menandatangani persefahaman untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya mengukuhkan kestabilan politik negara.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata, tindakan ketiga-tiga pemimpin pembangkang yang mewakili parti kompenen Pakatan Harapan (PH) telah membuka satu landskap politik baharu negara.
“Ini menunjukkan mereka telah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau ini benar-benar berlaku apa salahnya untuk kita jadikan ini sebagai jalan ke hadapan bagi landskap politik baharu negara di mana semua Ahli Parlimen duduk bersama secara inklusif.
“Ini bagi membincangkan kepentingan rakyat dan negara terutamanya untuk menyelesaikan masalah Covid-19 dalam negara,” katanya dalam sidang media khas di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, landskap politik baharu amat diperlukan untuk memberi pembaharuan kepada situasi politik yang memualkan kebelakangan ini.
“Saya fikir ini satu langkah ke hadapan untuk ahli-ahli Parlimen berbincang dengan lebih baik, memberi perhatian yang penuh, segala apa pemikiran yang baik harus kita berikan, tumpukan.
“Bukan hanya kata mengata, tuduh menuduh, hasut menghasut, sesuatu yang pada saya sudah pun menjadi perkara yang muak dalam negara kita ini.
“Saya yakin, bukan kerana saya Setiausaha Agung parti, bahkan Presiden Bersatu juga yang sebelum ini telah melakukannya akan bersetuju dengan sesuatu yang baik untuk masa hadapan negara,” katanya.
Mengulas perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) pembangkang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob baru-baru ini, Hamzah berkata, langkah itu positif untuk mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.
“Itu sesuatu yang baik dalam mana kita nak menentukan kestabilan politik dalam negara. Kita tak mahu lagi cerita haru biru politik yang kata esok kerajaan jatuh, lusa kerajaan jatuh.
“Ini sesuatu keadaan yang boleh menyebabkan tidak stabilnya bukan hanya politik tetapi juga program-program yang ingin kita tentukan bagi membangun negara kita,” katanya. – Malaysiapost