Hujan antara punca Ziyad lewat lapor diri ke call rooms
RAMAI tertanya-tanya apa punca atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, lewat melapor diri ke pusat panggilan atau ‘call rooms’ dalam acara lontar peluru Paralimpik Tokyo 2020 semalam, hingga mengakibatkan pingat emasnya dibatalkan.
Berkongsi mengenai perkara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, ia berpunca daripada hujan selain kawasan trek yang agak padat dengan atlet acara lain.
Menurutnya, susulan keadaan itu tiga atlet acara Shot Put F20 iaitu atlet Australia, Ecuador dan Muhammad Ziyad telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan ketika itulah mereka didakwa lewat melaporkan diri.
“Kronologi kejadian tersebut terjadi kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlet masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan itu pada masa panggilan yang tertera iaitu jam 5.55 petang waktu Tokyo.
“Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine ketika itu bahawa ketiga-tiga atlet tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan.
“Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat (under protest) seperti dibenarkan dalam peraturan pertandingan seperti tersebut di atas,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5, seseorang atlet boleh dihalang menyertai pertandingan kerana kelewatan melaporkan diri atau dibenar menyertai pertandingan tertakluk keputusan pengadil mengenai kesalahan kelewatan melaporkan diri ke pusat panggilan tersebut.
“Sekiranya kesalahan tersebut terbukti dilakukan, maka keputusan atlet terbabit akan dicatitkan sebagai DNS (Did Not Start) dan keputusan pertandingan bagi Ziyad dan atlet dari Ecuador dan Australia telah diputuskan sebagai DNS.
“Kontinjen Malaysia diketuai Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman bersama delegasi Ecuador dan Australia telah mengemukakan penjelasan dan seterusnya rayuan rasmi.
“Namun Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh ketiga-tiga atlet tersebut,” katanya.
Menurutnya, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) selepas temasya Paralimpik Tokyo 2020 berakhir.
“Ini supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara agar penyertaan dan catatan mereka bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catitan rasmi kejohanan tersebut,” katanya. – Malaysiapost