KEMARAHAN rakyat Malaysia berhubung pingat emas atlet lontar peluru Ziyad Zolkefli yang dibatalkan oleh penganjur Sukan Paralimpik Tokyo mendapat perhatian kedutaan Ukraine di Malaysia.
Duta Besar Ukraine di Malaysia, Olenxander Nechytaylo menerusi ciapan di Twitter menggesa supaya perkara itu dapat ditangani secepat mungkin untuk memelihara semangat sukan Olimpik.
Prestasi cemerlang Ziyad yang berjaya memecahkan rekod dunia dengan lontaran 17.94 meter turut menerima penghargaan dari Nechytaylo.

“Dia akan kekal sebagai juara di hati ramai orang dan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, rakyat Malaysia dilihat melepaskan kemarahan mereka dengan menyerang akaun Facebook milik Kedutaan Ukraine di Malaysia.
Susulan itu, akaun Facebook itu terpaksa dikawal buat sementara waktu dan hanya beberapa individu sahaja dibenarkan untuk meninggalkan komen di Facebook milik kedutaan negara tersebut.
Kemenangan pingat emas Ziyad dibatalkan selepas dia dikatakan lewat untuk melaporkan diri ke bilik menunggu sebelum acara bermula.
Perkara itu dimaklumkan oleh wakil Ukraine menyebabkan keputusan Ziyad bersama dua lagi atlet dari Australia dan Ecuardo diputuskan sebagai Did Not Start (DNS). – Malaysiapost