KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi mengkoordinasi Angkatan Tentera (ATM) dengan kementerian itu dalam menjayakan agenda nasional memerangi Covid-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jawatankuasa itu akan diketuai timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan laporan perlu diberikan kepadanya setiap minggu.
“MINDEF dan ketiga-tiga cabang ATM perlu melaporkan tindakan yang sudah dilaksanakan selama lebih setahun ini serta mencadangkan kepada saya apa lagi tindakan susulan yang boleh ditambah baik.
“Ini mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF), selain membantu usaha dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media, hari ini.
Hishammuddin berkata, penubuhan jawatankuasa bertindak itu antara inisiatif dilaksanakan dalam merealisasikan penunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari setiap kementerian seperti digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, usaha itu penting demi melindungi rakyat serta merancang bagaimana MINDEF dan ATM boleh membantu negara secara lebih menyeluruh dalam memerangi pandemik Covid-19.
Menurutnya, kelebihan sedia ada MINDEF dan ATM, termasuk infrastruktur di seluruh negara seperti hospital angkatan tentera, hospital medan serta 38 sekolah dalam kem boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikan bagi memenuhi keperluan agenda nasional.
“Saya, timbalan, kepemimpinan MINDEF dan ATM akan segera turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada kakitangan serta anggota terbabit keadaan operasi semasa.
“Ini kerana saya mahukan usaha yang kita lakukan ini adalah berdasarkan suara kolektif dan konsensus bersama,” katanya.
Beliau berkata, aspek pemantauan dan penguatkuasaan amat penting mengambil kira kelonggaran SOP yang digubal dan diumumkan sebelum ini terutama kepada individu menerima vaksinasi lengkap.
“Dalam konteks ini, saya akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku pengerusi jawatankuasa pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya dalam mengatur gerak semua agensi penguatkuasaan dan pemantauan secara lebih menyeluruh supaya usaha memperkemas dan memperkasa aspek ini dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.
Pada masa sama, Hishammuddin berkata, pihaknya akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan rakan negara sekutu sedia ada serta meneruskan hubungan baik bersama negara lain yang telah beliau usahakan semasa menjadi menteri luar negeri.
Katanya, kerjasama itu bertumpu kepada aspek diplomasi ketenteraan, aspek keselamatan antarabangsa khususnya dalam memerangi pengganas, pengurusan pandemik Covid-19, sistem kesihatan serta ekonomi dan kesejahteraan. – Malaysiapost