Kerajaan Pusat wajar ambil alih HSKLU jika Selangor berkeras

LANGKAH drastik perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan jika kerajaan negeri Selangor masih berkeras membenarkan penyahwartaan 536.70 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata antara langkah drastik yang perlu diambil adalah mengambil alih hak milik kawasan yang telah dinyahwarta.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari wajar membatalkan penyahwartaan berkenaan dengan segara dan memberikan penjelasan mengenainya.

“Kita tunggu penjelasan, tetapi saya tidak dapat bayangkan apa penjelasan yang boleh menjustifikasi penyahwartaan.

“Sebagai suatu langkah akhir dan drastik, Kerajaan Persekutuan boleh mempertimbang menggunakan peruntukan Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil hak milik kawasan yang telah dinyahwarta, iaitu daripada milik Kerajaan negeri ke Kerajaan Pusat, sebelum negeri melaksana pindahmilik ke mana-mana syarikat atau entiti.

“Saya sedar, cadangan ini bersifat agresif dan sewajarnya menjadi langkah terakhir andaikata segala desakan masih gagal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memperbetul kegagalan dan kerakusan Kerajaan negeri, namun HSKLU merupakan aset amat berharga atas kedua-dua faktor warisan dan masa hadapan.

“Jika Menteri Besar dan Exco tidak mematuhi keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Dewan, mahupun pandangan rakyat menerusi pendengaran awam, apatah lagi keluhan di media sosial, maka sesuatu yang tegas harus dilakukan untuk menyelamatkan situasi.

“Kerana nampak gayanya, bising macam mana pun, MB dan Exconya masih nak teruskan,” katanya.

Menurutnya, HSKLU merupakan kawasan paya gambut dan tanah adat Orang Asli suku Temuan serta habitat untuk spesies terancam yang berusia 8,000 tahun.

“Usul (diluluskan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November 2020 untuk menolak penyahwartaan dan apa-apa bentuk pembangunan HSKLU.

“Pendengaran awam yang diadakan pada September 2020 juga mendapat bantahan dari ramai pihak dan tidak termasuk puluhan ribu mesej bantahan dan petisyen menolak perkara sama,” katanya.

Beliau menegaskan, pemusnahan HSKLU demi keuntungan dan pembangunan yang tidak diperlukan adalah satu langkah tidak masuk akal. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights