BADAN Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) kini dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Perkara itu dimaklumkan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Menurutnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga akan dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MOSTI sehingga akhir Oktober ini.
“CITF sekarang dipengerusikan secara bersama oleh saya dan Dr Adham.
“MOSTI dan KKM pula akan mengendalikan PICK secara bersama sehingga akhir Oktober ini bagi penyerahan sepenuhnya,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini memaklumkan KKM melalui menterinya yang baharu, Khairy Jamaluddin kini dipertanggungjawabkan mengendali semua program vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19.
Beliau berkata MOSTI diterajui Dr Adham pula akan memfokuskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.
CITF ditubuhkan pada Februari lalu ketika Khairy mengetuai MOSTI, untuk menyelaras tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi pelaksanaan PICK. – Malaysiapost