Malaysia akan teruskan rayuan – Reezal Merican

MALAYSIA akan meneruskan rayuan dalam mesyuarat Ketua-Ketua Kontinjen hari ini, susulan tindakan Juri Rayuan Olahraga mengekalkan keputusan membatalkan pingat emas atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli. 

Bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perkara itu dimaklumkan Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.

“Maklumat terkini dari Tokyo memaklumkan keputusan Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil iaitu membatalkan keputusan atlet para negara, Mohamad Ziyad Zolkefli sebagai pemenang pingat emas dan pemegang rekod dunia serta penyertaan atlet dari Equador dan Australia.

“World Para Athletics (WPA) dalam kenyataan terbaharu turut mengekalkan keputusan Juri tersebut.

“Saya sempat berhubung dengan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, Ketua Kontinjen Malaysia dan beliau memaklumkan bahawa kita akan meneruskan rayuan dalam mesyuarat Ketua-Ketua Kontinjen pagi ini,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Beliau berkata, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia juga akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk mempertimbangkan semula rayuan Malaysia agar penyertaan dan catatan rekod Ziyad diterima dalam kejohanan ini.

“Malaysia tidak akan membiarkan prestasi cemerlang Ziyad dikuburkan sebegini. Atlet negara kita telah melakarkan rekod dunia dan kita akan berdiri teguh mempertahankan beliau! 

“Saya ucapkan terima kasih kepada YB Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan yang terus menerus memastikan penyertaan Ziyad diberi pembelaan sewajarnya. Jangan patah semangat Ziyad! Malaysia stands with you,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan rayuan Malaysia untuk mengekalkan pingat emas yang diraih Muhammad Ziyad Zolkefli pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020 semalam, ditolak dalam mesyuarat Cheif de Mission (CDM), hari ini. 

Perkara itu dimaklumkan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi menerusi ciapan di Twitter sebentar tadi, sekali mengesahkan Muhammad Ziyad terlepas pingat emas lontar peluru kategori F20. 

“Rayuan boleh dibuat selepas tamat temasya (Paralimpik),” katanya lagi. 

Semalam Muhammad Ziyad mencatatkan 17.94 meter (m) pada lontaran ketiga untuk meraih emas, sekali gus memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.  – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights