PERBICARAAN kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 40 tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini ditangguhkan ke 28 September ini.
Presiden Umno itu bagaimanapun hadir di mahkamah pagi ini, namun Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan menangguhkan perbicaraan itu memandangkan Ahmad Zahid masih berada dalam cuti sakit sehingga 4 September.
Memetik laporan Berita Harian, Mohd Yazid mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid atas komitmennya hadir ke mahkamah walaupun mengalami masalah kesihatan.
Terdahulu pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan mahkamah, pihaknya bersedia meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memohon penangguhan sebelum menyerahkan laporan kesihatan anak guamnya.
Wan Shahruddin kemudian tidak membantah permohonan itu dan berharap komitmen ditunjukkan Ahmad Zahid berterusan pada prosiding seterusnya. Mahkamah kemudian menetapkan 28 September, 22 Oktober, 18 hingga 19 November dan 20 hingga 24 Disember untuk menyambung perbicaraan.
Mahkamah turut mengingatkan tiada lagi penangguhan dibenarkan untuk tarikh perbicaraan baharu. Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Ia sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau. – Malaysiapost