Medan selera KLCC tutup, Najib mahu k’jaan pulihkan kemampuan rakyat berbelanja

SELEPAS 22 tahun, medan selera di tingkat empat Suria KLCC dilaporkan terpaksa menghentikan operasi bermula hari ini.

Perkembangan itu dikongsi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut melahirkan kebimbangan terhadap nasib warung-warung serta restoran biasa yang lain, kesan pandemik Covid-19.

“Sekiranya food court tingkat 4 KLCC yang popular sejak 22 tahun lalu pun terpaksa henti operasi bermula hari ini, apakah nasib warung-warung dan restoran biasa,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu tular gambar yang dimuatnaik di media sosial memaparkan ucapan terima kasih oleh pengurusan RASA Food Arena di Suria KLCC yang memaklumkan penutupan terus medan selera itu mulai hari ini.

Ia juga mengucapkan terima kasih atas sokongan pelanggan sejak beroperasi 22 tahun lalu.

Mengulas mengenainya, Najib berkata keyakinan dan kemampuan rakyat perlu dipulihkan segera dalam usaha kerajaan menangani krisis yang berpunca daripada pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata kedua-dua aspek berkenaan perlu diberi tumpuan dalam langkah-langkah baharu yang dijangka diumumkan kerajaan tidak lama lagi.

Menurutnya, kerajaan perlu memulihkan keyakinan rakyat untuk keluar rumah dan berbelanja semula serta memulihkan kemampuan rakyat untuk berbelanja. “Pulihkan keyakinan rakyat untuk keluar rumah untuk berbelanja semula.

Rakyat tak rasa selamat untuk berjalan-jalan dan makan di luar rumah selagi angka kes Covid-19 masih tinggi biarpun kelonggaran untuk ‘dine-in’ dah lama diberi.

“Pulihkan kemampuan rakyat untuk berbelanja dengan menaikkan semula kitaran wang tunai bagi ekonomi tempatan, iaitu ‘putting money into people’s hands’.

“Saya harap dan percaya langkah-langkah baharu kerajaan akan diumum tidak lama lagi bagi menepati kedua-dua keperluan ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights