Pencemaran bau: Air Selangor mula agih bekalan air kepada pengguna

Pencemaran bau: Air Selangor mula agih bekalan air kepada pengguna

AIR Selangor memaklumkan bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan pada jam 7 pagi tadi secara berperingkat kepada pengguna di kesemua kawasan yang terjejas.

Ia susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih)  berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih semalam.

Menerusi kenyataan pagi ini, Air Selangor memaklumkan sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di  kesemua kawasan-kawasan yang terjejas.

“Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat  dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 3 September.

“Para pengguna boleh merujuk Jadual Pelan Pemulihan yang terperinci di www.airselangor.com, atau ‘Instagram Instastory’ & ‘Facebook Story’.

“Air Selangor telah menjalankan ujian kualiti air dan ia mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Air Selangor, air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna.

Pada masa sama, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air alternatif kepada para pengguna dan premis-premis kritikal yang terlibat.

“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam sebanyak 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, susulan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau.

Pencemaran bau itu membabitkan Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam. – Malaysiapost

Komen