MESYUARAT Kabinet pertama di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menekankan status terkini jangkitan Covid-19 di Malaysia.
Semua kementerian juga diminta lebih proaktif dalam mengukuhkan tindakan tahap kesihatan demi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat utama kepada rakyat.
Ismail Sabri yang mempengerusikan mesyuarat itu menerusi sidang video dari kediamannya, turut mengingatkan para menteri Kabinet, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari.
“Pagi ini saya mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama menerusi sidang video dari rumah setelah dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin kendiri.
“Antara penekanan utama, membincangkan status terkini jangkitan Covid-19 untuk semua kementerian bergerak proaktif bagi pengukuhan tindakan tahap kesihatan demi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat utama kepada rakyat.
“Saya turut mengingatkan para menteri Kabinet, setiap kementerian perlu buktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari. Maka tindakan pantas dan bersepadu merupakan aspek utama membebaskan Malaysia daripada ancaman wabak, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik yang dilalui rakyat sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, segala bantuan yang telah diumumkan sebelum ini mesti disegerakan dan beliau akan memastikan barisan Kabinetnya berasaskan keberhasilan yang mengutamakan kestabilan dan keselamatan Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Ogos lalu.
Beliau adalah Ahli Parlimen ketiga mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Bera berusia 61 tahun itu, dilantik menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan sebagai pada 16 Ogos lalu.
Sementara itu, istiadat mengangkat sumpah jawatan jemaah Menteri Kabinet baharu berlangsung di Istana Negara, Isnin lalu, membabitkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri. – Malaysiapost