Tentera Darat sahkan penemuan mayat Lans Koperal Mohamad Azrin
TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan penemuan jasad anggotanya daripada 10 Briged Para (10 Bgd Para), Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa di Sungai Pahang, pagi tadi.
Allahyarham merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) yang dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 di Kawasan Am Bera, Ahad lalu.
Markas Tentera Darat menerusi kenyataan sebentar tadi memaklumkan, jasad Mohamad Azrin ditemui pada jam 8.15 pagi oleh penduduk di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian.
“TDM merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang; Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Serta penduduk kampung dan mana-mana agensi yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat,” kata kenyataan itu.
Semasa kejadian kira-kira jam 4.40 petang Ahad lalu, Mohamad Azrin sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.
TDM turut menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya.
Menurut kenyataan itu, TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga tersebut.
“Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham bagi menjaga perasaan waris,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: ATM