KEPUTUSAN menarik balik pingat emas milik jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menimbulkan perasaan sedih dan marah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, rata-rata netizen menganggap tindakan kem Ukraine melakukan protes terhadap Muhammad Ziyad serta dua atlet lain kerana dikatakan lewat memasuki bilik panggilan, sebagai tiada semangat kesukanan.
Perkara sama turut diluahkan penyanyi otai, Datuk Hattan yang menyifatkan tindakan kem Ukraine itu tidak ‘gentleman’.
“Menyirap darah tengok, ada pula Ziyad tu kena tarik emas. Woi (atlet) Ukraine kau tak gentle lah, kot iya pun lambat, jangan bagi bertanding, dah menang emas baru nak tarik, tak ada cara lain ke?
“Janganlah buat macam tu, gentleman lah sikit, woi malu… Ziyad tetap champion, Woi Ukraine mak kau hijau,” luah Hattan menerusi video yang dimuatnaik di Instagramnya.
Penyanyi lagi Rendang Tak Berbuah itu meluahkan demikian dengan menggunakan loghat Negeri Sembilan.
Terdahulu, rayuan Malaysia untuk mengekalkan pingat emas yang diraih Muhammad Ziyad pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020 semalam, ditolak dalam mesyuarat Cheif de Mission (CDM) pagi tadi.
Muhammad Ziyad mencatatkan 17.94 meter (m) pada lontaran ketiga untuk meraih emas, sekali gus memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.
Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik panggilan sebelum acara dimulakan. – Malaysiapost