BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan mewujudkan hospital sementara khusus bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, bagi mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID).
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, hospital sementara itu hanya perlu dibekalkan dengan bekalan oksigen dan beberapa doktor serta jururawat sahaja.
Menurutnya, ketika ini rawatan di hospital bagi pesakit Covid-19 hanya membabitkan pesakit kategori empat dan lima sahaja, manakala kategori satu, dua dan tiga perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Amalan sekarang ialah yang teruk, yang sudah memerlukan oksigen dan mengguna alatan untuk diberi oksigen dengan tekanan tinggi, sahaja yang dimasuk ke dalam hospital iaitu kategori empat dan lima.
“Kategori satu, dua dan tiga diarah kuarantin di rumah. Di rumah tidak ada perawat atau oksigen. Kategori tiga yang sudah pun menunjuk paru-paru terjangkit, apabila menjadi lebih teruk tidak dapat apa-apa rawatan di rumah.
“Keluarga di rumah tidak dapat tolong kerana tidak boleh dekat dengan pesakit. Doktor tidak dapat dipanggil. Pesakit jadi lebih teruk. Oksigen tidak ada di rumah. Dan akhirnya pesakit meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau percaya kategori tiga ini boleh diselamatkan dan kumpulan pesakit berkenaan juga tidak begitu ramai, maka hospital sementara boleh diadakan.
“Lebih seribu pesakit kategori tiga boleh dikuarantin di hospital sementara. Pihak tentera boleh bina hospital ala field hospital. Dewan-dewan di hotel dan bangunan lain boleh dilengkap dengan katil, oksigen dan doktor serta jururawat.
“Apabila dikesan pesakit sudah jadi lebih serius, doktor dan jururawat boleh beri oksigen. Jika kurang respon, pesakit boleh dipindah ke hospital biasa,” katanya.
Dr Mahathir berkata, bagi pesakit kategori satu dan dua yang dikuarantin di rumah pula, lawatan oleh satu pasukan doktor dan jururawat perlu diadakan bagi membuat penilaian jika ada pesakit yang menjadi lebih teruk oksigen boleh diberi.
Menurutnya, dalam kes yang serius pesakit bagi dua kategori berkenaan boleh dipindah ke hospital Covid-19 atau hospital sementara untuk pesakit kategori tiga.
“Saya harap cadangan saya ini diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya percaya jumlah kes baru dapat dikurangkan dan juga jumlah kematian,” katanya. – Malaysiapost