Ziyad tetap juara di hati kami – PM

Ziyad tetap juara di hati kami – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menganggap atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli tetap juara di hati Keluarga Malaysia.

Menurutnya, memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa dan beliau berbangga dengan pencapaian atlet berkenaan.

“Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami, memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda!

“Sama-samalah kita berdoa agar kemenangan pingat emas kekal di tangan Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Muhammad Ziyad, 31, memenangi pingat emas dengan memecahkan rekod dunia acara lontar peluru kategori F20 apabila mencatatkan lontaran sejauh 17.94 meter (m) ketika negara sedang menyambut Hari Kebangsaan ke-64, semalam.

Bagaimanapun kejayaannya diragut apabila dibatalkan selepas protes oleh pasukan Ukraine.

Kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum acara mereka bermula.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kedudukan pingat Muhammad Ziyad ditentukan pagi ini dalam mesyuarat Cheif de Mission (CDM).

“Protes daripada Ukraine masih diterima. Counter protest daripada tiga negara, Malaysia, Ecuador dan Australia akan dibawa ke mesyuarat CDM. Kita pertahankan!! Mohon doa rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen