Agensi agama diberi tempoh 10 hari rangka pelan mendepani Covid-19

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Idris Ahmad mencadangkan ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’ sebagai tema pentadbiran hal ehwal Islam kali ini.

Idris berkata, tema itu diangkat sebagai panduan kepada semua agensi Islam di bawah terajunya.

Jelasnya, ia bertujuan untuk melaksanakan dasar dan program yang menjurus ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bagi memastikan tema pentadbiran yang dicadangkan dapat direalisasikan, pihaknya sepakat untuk memberi fokus kepada lima strategi yang dinamakan Inisiatif Mantap iaitu:

  1. Pemantapan mental, jasmani dan rohani
  2. Pemantapan sistem Pendidikan Islam
  3. Pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam
  4. Pemantapan institusi masjid dan surau
  5. Pemantapan sosio ekonomi ummah

“Bagi memastikan Inisiatif Mantap ini dapat dilaksanakan segera, saya telah menetapkan tempoh kurang 10 hari bagi semua agensi di bawah saya untuk merangka Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 atau ringkasnya PIAGAM-C19.

“Saya telah mengarahkan JAKIM sebagai agensi peneraju untuk menyelaras semua 14 agensi Islam dan sebuah sekretariat khas akan diwujudkan oleh JAKIM bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dapat dicapai dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights