Ahli Parlimen diberi surat penerangan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berharap usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 yang dicadangkannya akan mendapat persetujuan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN), berkata notis berkaitan usul berkenaan sudah dihantar semalam di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

Menurutnya, usul itu adalah selari dengan inisiatif ‘Anti Lompat Parti’ yang Kerajaan sedang usahakan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan Kerajaan dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang turut merangkumi kerjasama merentas parti.

“Saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan mekanisme Pemecatan Wakil Rakyat atau “Recall” sebagai kaedah anti-lompat di dalam sidang Parlimen September 2021 ini. 

“RUU ini juga akan memberikan kuasa semak dan imbang kepada rakyat terhadap wakil rakyatnya. Besar harapan saya agar usul ini mendapat persetujuan daripada YDP Dewan Rakyat untuk dibentang dan dibahas.

“Dan jasa baik Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen untuk membawa ke depan (fasttrack) sepertimana yang dilakukan untuk RUU 355 pada 2015,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga akan menulis surat kepada semua Ahli Parlimen untuk menerangkan kepentingan dan kelebihan RUU itu dalam memastikan sistem pilihan raya yang lebih adil dan berintegriti terhadap mandat rakyat.

“Semoga agenda reformasi Parlimen untuk mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran yang telus akan menjamin kebajikan rakyat dan masa depan negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights