Allahyarham Mohamad Azrin dinaikkan pangkat koperal

ALLAHYARHAM Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, yang lemas di Sungai Pahang ketika menyertai Latihan Eksesais Para Predator dinaikkan pangkat Koperal, berkuat kuasa serta-merta.

Kenaikan pangkat Mohamad Azrin diumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain selepas istiadat pengebumian selesai dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam di Sungai Petani, tengah hari tadi.

Zamrose berkata, sebagai menghargai khidmat Allahyarham, Tentera Darat Malaysia (TDM) memberi anugerah pangkat secara ‘posthumous’ kepada arwah.

“TDM sentiasa mengambil berat kebajikan setiap anggota, terutama yang terkesan dengan insiden kemalangan atau kematian.

“Tidak kira sama ada kejadian berlaku ketika melaksanakan tugas, operasi atau latihan, kita tetap menjaga kebajikan anggota,” katanya seperti dilaporkan Berita harian.

Selain kenaikan pangkat, TDM turut memberi faedah kelayakan kematian kepada balu, anak dan ahli keluarga Allahyarham.

Allahyarham Mohamad Azrin berkhidmat dengan TDM sejak tujuh tahun lalu meninggalkan balu, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 23, dan bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Nor Aqila enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya.

Dalam kejadian Ahad lalu, mayat Mohamad Azrin ditemui kira-kira jam 8 pagi selepas terjatuh Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai itu ketika menjalani latihan.

Mayat ditemui di tebing sungai berdekatan Kampung Serengkam, Maran, semalam, pada jarak kira-kira 70 kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan lemas. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights