ATM sedia diaturgerak redakan Covid-19 di 5 negeri – Hishammuddin

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) bersedia diaturgerak bagi membantu meredakan situasi Covid-19 di lima negeri yang mempunyai penularan jangkitan harian yang tinggi ketika ini iaitu Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera bersedia membantu Kerajaan dengan mendirikan Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang akan dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, ia bagi membantu memberikan rawatan ke atas pesakit-pesakit Covid-19 khususnya yang berada dalam kategori tiga ke atas.

“Saya percaya, bantuan ATM ini akan dapat membantu berupaya mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di negeri-negeri berkenaan.

“Selain itu, mengambil kira kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam bahawa antara keutamaan sekarang ialah untuk meningkatkan bekalan dan mempercepatkan pemberian vaksin di lima negeri berkenaan.

“Maka ATM bersedia untuk membantu menyediakan pasukan vaksinasi ATM di negeri-negeri yang memerlukan khasnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tidak sekadar di lima negeri berkenaan, ATM juga akan memberi bantuan sewajarnya bagi menjayakan usaha memerangi Covid-19 di negeri-negeri yang lain.

“Ini termasuklah meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam seperti yang ditetapkan oleh Sidang Khas MKN hari ini.

“ATM kini hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin memaklumkan, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengesahkan beliau akan kembali mengetuai usaha berkaitan Pengurusan Pandemik di bawah MKN.

“Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya adalah untuk menilai dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan sebelum ini dari semasa ke semasa.

“Saya percaya, ini merupakan kerja berterusan dan memerlukan pendekatan inklusif. Saya sentiasa berbesar hati dan bersedia membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights