Bekalan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya

Bekalan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya

SEMUA 463 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.

Ia membabitkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.

Sehubungan itu, Air Selangor menerusi kenyataan pagi ini mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor,” katanya.

Terdahulu, 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, susulan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau.

Pencemaran bau itu membabitkan Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi kelmarin. – Malaysiapost

Komen