Beralih fasa tak bermakna Lembah Klang bebas Covid-19 – Zahid

JIKA pun kerajaan bersetuju Lembah Klang beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bukan bermakna kawasan itu telah bebas daripada ancaman Covid-19.

Peringatan itu diberikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan perlu difahami bahawa ancaman Covid-19 masih wujud dan individu yang telah divaksin tetap berisiko dijangkiti.

Beliau juga mengingatkan masih ada yang belum divaksin di Lembah Klang termasuk golongan berusia 17 tahun ke bawah dan keselamatan mereka perlu diberi perhatian oleh semua terutama ibu bapa.

“Peralihan Fasa PPN di Lembah Klang menjadi tumpuan kerana inilah kawasan paling tinggi mencatatkan kes jangkitan Covid-19 selama ini.

“Pada 31 Ogos 2021 sebanyak 5,399 lagi kes jangkitan harian Covid-19 dilaporkan di Lembah Klang dengan jumlah kematian seramai 161 orang.

“Justeru, kita berharap penduduk Lembah Klang tetap mengamalkan SOP ketat pada setiap masa walaupun telah beralih Fasa PPN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid seterusnya mengingatkan semua pihak agar terus berusaha mengurangkan pergerakan dengan sewajarnya untuk perkara yang perlu sahaja kerana Fasa 2 bermakna lebih kelonggaran diberikan.

“Nasihat ini turut terpakai kepada kawasan lain yang telah beralih kepada fasa berikutnya. Slogan Kita Jaga Kita jangan sesekali dilupakan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights