“Hanya saya dan Tan Sri Shahrir Samad diheret ke mahkamah” – Ahmad Maslan
SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berharap pertuduhan dihadapinya berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berpihak kepadanya seperti beberapa entiti lain.
Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 41 pihak yang disita dan 80 lagi dikompaun berkaitan dengan dana berkenaan.
“Banyak pihak yang disita telah menang kes di mahkamah dan daripada 80 yang dikompaun, hanya saya dan Tan Sri Shahrir Samad diheret ke mahkamah.
“Saya sentiasa berdoa ke hadrat Allah,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, permohonan kerajaan untuk melucut hak harta lapan entiti termasuk Umno dan Wanita MCA membabitkan jutaan ringgit ditolak oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Panel tiga Hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil turut membenarkan rayuan Umno Pahang bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan melucut hak RM2,479,300.18 yang disita daripada Badan Perhubungan Umno negeri itu.
Pada 23 Ogos lalu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dua pertuduhan, gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM pada 4 Julai, 2019. – Malaysiapost