KERAJAAN hari ini menetapkan harga siling untuk kit ujian pantas Covid-19 (RTK-Antigen) pada harga RM19.90 untuk runcit dan RM16 untuk borong.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di laman Twitternya sebentar tadi.
Selain itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji untuk menyediakan kit percuma kepada keluarga daripada golongan B40.
“Kerajaan juga akan meneroka pilihan pembelian pukal untuk memastikan harganya turun lebih rendah dan melihat untuk menyediakan kit percuma untuk keluarga B40,” katanya.
Semalam, Khairy dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan kawalan harga melalui penetapan harga siling bagi ujian saringan Covid-19 RTK-Antigen.
Bercakap dalam sidang akhbar sulung beliau di KKM semalam, Khairy berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau juga meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk mengumumkan mengenai penetapan harga siling bagi ujian tersebut. – Malaysiapost