Hishammuddin ajak rakyat kongsi idea perangi Covid-19
MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengajak rakyat Malaysia yang mempunyai idea untuk memerangi Covid-19 akan berkongsi mengenainya menerusi akaun media sosialnya.
Hishammuddin berkata beliau memerlukan idea serta kritikan membina daripada orang ramai bagi mendapatkan formula terbaik dalam usaha mengekang penularan serta menangani kesan Covid-19 kepada masyarakat.
“Kita ada banyak platform, saya ada Instragram, Facebook dan boleh ‘tweet’ kepada saya bila-bila masa. Anda semua boleh maklumkan kepada saya idea konstruktif dan kritikan melalui sosial media.
“Saya mengaku kita tidak boleh monopoli dan menyatakan apa yang kita buat ini betul. Tidak ada pemimpin dalam dunia boleh mendabik dada bahawa mereka mempunyai formula terbaik untuk memerangi Covid-19.
“Kita mahu pastikan rakyat bersama-sama menjayakan pelan-pelan nasional yang telah kita umumkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan hari ini.
Hishammuddin berkata beliau yang bertanggungjawab menguruskan kepentingan tiga sektor berkaitan Covid-19 iaitu berhubung kepentingan rakyat, ekonomi serta kesihatan.
“Apa yang dicadangkan saya kena bawa kepada Sidang Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akhirnya kepada Sidang Khas dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost