PERMOHONAN kerajaan untuk melucut hak harta lapan entiti termasuk Umno dan Wanita MCA membabitkan jutaan ringgit ditolak oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Panel tiga Hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil turut membenarkan rayuan Umno Pahang bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan melucut hak RM2,479,300.18 yang disita daripada Badan Perhubungan Umno negeri itu.
Wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Turut bersidang, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais melalui prosiding dalam talian.
Memetik laporan Berita Harian, Hadhariah ketika membacakan penghakimannya, mendapati Hakim Mahkamah Tinggi dalam rayuan Umno Pahang terkhilaf apabila tidak menghiraukan fakta bahawa duit diberikan oleh Datuk Seri Najib Razak sudah dibelanjakan dan wang itu adalah dari sumber lain yang tidak bercanggah dengan undang-undang.
Sementara itu, dalam penghakiman membabitkan lapan entiti termasuk Umno dan Wanita MCA, Mahkamah Rayuan berpendapat tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan menolak permohonan rayuan pendakwaan dan bersetuju bahawa duit yang diterima daripada Najib adalah pembayaran bagi perkhidmatan yang diberikan oleh responden kepada bekas Perdana Menteri itu.
Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan untuk melucut hak wang RM192,965,413.61 milik Umno; Wanita MCA (RM300,000) dan Perano (RM337,643.78).
Entiti lain adalah Binsabi Sdn Bhd (RM827,250); Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359.60); Badan Perhubungan Umno Kedah (RM1.05 juta) dan Hattatex Trading (RM111,590). – Malaysiapost