VETERAN DAP Lim Kit Siang berkata, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin perlu memberi tumpuan terhadap usaha mengatasi masalah kes yang terus meningkat dan angka kematian tinggi akibat Covid-19.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata Khairy ‘bermula’ dengan cara yang tepat sebagai seorang Menteri Kesihatan, apabila berjanji untuk menjadi lebih telus, memberikan maklumat Covid-19 yang lebih terperinci kepada orang ramai.
Malah, beliau juga memuji pendekatan Khairy yang memperkenalkan inisiatif untuk meningkatkan operasi Covid-19 termasuk memperuntukan lebih banyak vaksin, tenaga kerja, dan peralatan perubatan ke lima negeri — Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan — yang sedang mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19.
“Namun begitu, terdapat satu perkara mendesak yang tidak disebut oleh Khairy dalam sidang media pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan — kadar kes baharu dan kematian harian akibat Covid-19 yang tinggi walaupun dengan kadar vaksinasi yang sudah tinggi dalam negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kit Siang berkata, sehingga kini masih belum ada tanda-tanda tren penurunan kes harian dan kematian sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) diumumkan pada 15 Jun lalu.
Beliau berkata, semalam Malaysia mencatatkan 18,762 kes baharu dan 278 kematian akibat Covid-19.
“Ini bermakna, sejak pengumuman Pelan Pemulihan Negara, kes Covid-19 telah meningkat 2.64 kali ganda dan kematian pula meningkat 4.2 kali ganda.
“Angka harian kes Covid-19 melepasi paras 20,000 kes pada 5 Ogos,” katanya.
Kit Siang berkata, sejak daripada hari tersebut, terdapat 18 hari dengan jumlah kes melebihi paras 20,000 kes (mencecah kemuncak 24,599 kes pada 26 Ogos), enam hari dengan kes di antara 19,000 ke 20,000, dan dua hari masing-masing untuk 18,000 ke 19,000 dan 17,000 ke 18,000 kes.
“Adakah angka kes baharu dan kematian akibat Covid-19 sedang meningkat atau menurun? Angka-angka ini tinggi, tetapi kita tidak dapat memastikan sama ada ia sedang meningkat atau menurun,” katanya.
Bagaimanapun, Kit Siang berkata, memandangkan terdapat tempoh inkubasi 14 hari untuk Covid-19, adalah lebih adil untuk menunggu dalam tempoh itu sebelum menilai kemampuan Khairy sebagai Menteri Kesihatan dengan dasar, strategi dan pedekatan baharu dalam memerangi wabak Covid-19.
Beliau juga mempersoalkan sama ada negara akan melepasi paras 17,000 kematian hari ini dan melepasi paras 20,000 kematian pada Hari Malaysia ke-58.
“Adakah Malaysia akan berada dalam hala tuju penurunan kes dan kadar kematian akibat Covid-19 dalam penghujung bulan ini?
“Kita berikan Khairy satu bulan sebagai Menteri Kesihatan baharu,” katanya. – Malaysiapost