KeTSA harap kawasan HSKLU diwarta keluar, dibangun secara lestari – Takiyuddin

KERAJAAN Selangor diharap dapat memastikan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 536.7 hektar yang telah diwarta keluar dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia termasuk memastikan kecukupan zon penampan dan semua syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah ditetapkan, dipatuhi sepenuhnya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya Orang Asli.

Menurutnya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) secara dasarnya telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar HSKLU khususnya di peringkat awal cadangan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Takiyuddin berkata,  pihak Kementerian dan jabatan atau agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung pewartaan keluar HSKLU pada tahun lalu.

“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli negara, Kementerian ini memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar HSKLU yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

“Ini kerana sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan Negeri Selangor adalah pada 31.74 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, KeTSA bagaimanapun mengambil maklum mengenai penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan empat kawasan hutan berasingan yang dijadikan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Katanya, kawasan gantian terbabit adalah Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar).

“Dalam hal ini, Kementerian ini mengesyorkan agar kawasan gantian tersebut terus dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kawasan berhutan di Selangor dikekalkan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights