Lelaki viral lagu ‘My Sejahtera Way’ menghadap TMJ
LELAKI yang tular dengan sebuah lagu parodi berjudul ‘My Sejahtera Way’ Azman Naim, hari ini menghadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim.
Azman atau nama sebenarnya Mohd Nur Azman Naim menerusi Instagramnya, @azmannaim44mantra memaklumkan mengenai perkara itu, turut berkongsi sekeping gambar bersama TMJ.
Dia mengakui sangat terharu dengan pendekatan TMJ yang sangat prihatin terhadap rakyat serta menerima kehadirannya masuk menghadap.
“Ampun Tuanku Tuanku Makhkota Johor. Menjunjung kasih kerana Tuanku terima patik menghadap. Segala yang dititah akan selamanya tersemat dalam hati.
“Patik menjunjung kasih kerana Tuanku sentiasa peka dengan permasalahan rakyat Johor.
“Sanggup meluangkan masa terima patik menghadap dan berkongsi pendapat serta pandangan tentang pelbagai isu rakyat. Semoga Allah sentiasa membantu Tuanku dalam menjaga rakyat serta membangunkan negeri Johor.
“Patik dan sahabat akan sentiasa bersama Tuanku. Kita akan lakukannya bersama. Untuk rakyat dan negeri Johor,” tulisnya.
Terdahulu, Azman menarik perhatian ramai dengan membuat pelbagai parodi lagu tentang isu semasa, sehingga mendapat perhatian Sultan Johor.
Selepas muncul lagu parodi terbaru berjudul ‘My Sejahtera Way’ yang diambil dari lagu sebenar berjudul My Way nyanyian Frank Sinatra, menyebabkan Sultan Johor menitahkan untuk mencari Azman.
Perkara itu yang dimaklumkan TMJ menerusi Instastory baginda. – Malaysiapost