MYDIN tawar kerja kepada gadis mangsa ragut

Nilam Oshman

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) setuju untuk mengambil mangsa ragut yang terpaksa dipotong tangan, Siti Nur Azizah Syafriadi bekerja dengan syarikat itu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun selepas menyantuni keluarga mangsa bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas hari ini.

Dari jangka masa panjang, katanya, pihak kementerian juga membantu dari segi emosi mangsa, iaitu dengan memberikan khidmat kaunseling secara berkala.

“Kita juga akan membantu ibunya juga yang merupakan ibu tunggal dalam perniagaan. Jadi kita tunggu keadaan mangsa stabil dulu, sekiranya dia nak meneruskan perniagaan kita akan bantu dari segi bimbingan dan latihan.

“Namun jika dia mahukan pekerjaan, Alhamdulillah saya pun sudah berbincang dengan MYDIN dan mereka bersetuju mengambil adik Azizah bekerja,” katanya selepas melawat keluarga Siti Nur Azizah di PPR Beringin di Jinjang, Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Rina memaklumkan MYDIN menawarkan bakul makanan bernilai RM200 kepada keluarga itu selama enam bulan.

Selain itu, katanya Yayasan Kebijkan turut menyediakan bantuan kewangan serta keperluan asas selain tablet untuk sesi pembelajaran adik-adiknya.

“Ini tindakan intervensi yang pihak kementerian buat untuk membantu mangsa dan keluarganya,” katanya.

Beliau turut menggesa polis mempercepatkan siasatan mencari individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dan mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya dapat diadili dengan sewajarnya.

Khamis lalu, mangsa bersama teman lelakinya menaiki motosikal cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang dalam kejadian 12.15 tengah malam.

Susulan kejadian itu, Siti Nur Azizah terpaksa menjalani tiga pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.

Malah tangan kanannya terpaksa dipotong kerana tidak boleh berfungsi lagi walaupun saluran darah utama sudah dijahit, bagi mengelak jangkitan kuman. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights