Najib, Azizulhasni bincang perkembangan sukan negara

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkesempatan bertemu dengan pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Najib berkata, beliau sempat bertemu dengan pemenang pingat perak dalam acara keirin Sukan Olimpik Tokyo itu, sebelum atlet berkenaan kembali berlatih di luar negara.

Katanya, menerusi pertemuan itu pelbagai perkara yang dibincangkan mereka terutama mengenai perkembangan sukan negara dan keperluan atlet-atlet negara.

“Pocket Rocketman! Jaguh kita, Datuk Azizulhasni Awang. Seluruh Malaysia bersorak tengok dia beraksi di Tokyo baru-baru ni.

“Ada yang bergambar melompat-lompat depan TV juga. Sempat bertemu tadi sebelum beliau membuat persiapan kembali berlatih di luar negara.

“Kami juga berbincang mengenai perkembangan sukan negara dan keperluan atlet-atlet kita,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, banyak lagi yang perlu diusahakan dan ditambahbaik, terutamanya dalam aspek persediaan dan latihan atlet-atlet negara.

“Semoga atlet-atlet kita dapat terus berusaha dengan sokongan penuh yang diperlukan. Kemah keming bohhh,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Najib berkata, di sebalik sebutir pingat di Olimpik adalah pengorbanan besar seorang atlet.

“Di sebalik pingat adalah latihan demi latihan yang berjam-jam lamanya setiap hari. Mencabar diri membuat lebih baik daripada sebelumnya. Menguji stamina, ketabahan dan keupayaan diri.

“Dalam kata mudah, tidak kenal erti lelah dan tidak putus asa. Biar kegagalan menjadi semangat kebangkitan. Biar cabaran menjadi dorongan

“Mereka yang rajin berusaha, banyak bersabar, dan selalu berdoa, pasti akan berjaya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights