Norazlan dilantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Norazlan dilantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM

PENGARAH Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dilantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), SPRM yang baharu berkuat kuasa hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan beliau dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang bersara wajib.

“Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Pengarah SPRM Selangor, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengarah SPRM Johor.

Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (kanan)

“Norazlan, 57, berkelulusan Bachelor of Science in Business Control System, pengkhususan dalam bidang Perakaunan daripada University of North Texas, Amerika Syarikat dan Master of Science in Economic Crime Management (Kepujian) daripada HELP University, Malaysia.

“Beliau mula menyertai SPRM pada 9 Februari 1989 dan sepanjang tempoh perkhidmatan, berpengalaman luas serta banyak terlibat dalam pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, SPRM memaklumkan Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Hishamuddin Hashim, dilantik sebagai Pengarah Kanan Siasatan SPRM yang baharu berkuat kuasa pada tarikh sama.

Menurut SPRM, Ketua Unit Integriti, Kementerian Pengangkutan, Datuk Tan Kang Sai pula dilantik menggantikan Hishamuddin.

Dalam pada itu, SPRM telah menganjurkan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Shamshun Baharin di Ibu Pejabat SPRM semalam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Beliau bersara wajib sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun selepas berkhidmat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama 37 tahun sejak tahun 1984.

“Memulakan karier di BPR/SPRM sebagai pegawai penyiasat dan telah memegang pelbagai jawatan penting sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” menurut kenyataan itu.

SPRM merakamkan ucapan terima kasih atas usaha dan sumbangan bakti beliau sepanjang dalam perkhidmatan di BPR/SPRM bagi membanteras rasuah di negara ini.

“Pengurusan tertinggi dan seluruh warga SPRM turut mengucapkan tahniah atas pelantikan pucuk pimpinan baharu ini sekali gus menjadikan SPRM terus cemerlang,” katanya. – Malaysiapost

Komen