Paip di dasar sungai Terengganu dijangka pulih 12 September
PAIP di dasar Sungai Terengganu yang rosak dijangka akan beroperasi semula pada 12 September ini setelah kerja-kerja penggantian paip baru yang menelan kos kira-kira RM2.5 juta, selesai.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sehingga kini kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan masih menunggu paip penggantian tiba, yang dimport daripada negara luar iaitu Australia dan Itali.
Katanya, beliau telah mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam garis panduan penandaan paip bawah air terutama yang melibatkan paip utama.
“Beberapa penambah baikan perlu di buat terutama sekali penandaan paip bawah air perlu dibuat. Bila tiada tanda, mereka tidak tahu di bawah ada paip utama.
“Kita ada kaedah, berapa jarak daripada bangunan ke paip utama untuk pengorekan pasir dan sebagainya,” katanya kepada media hari ini.
Mengulas berkenaan aktiviti pengorekan pasir di sungai Terangganu, Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa kerja-kerja mengambilan pasir di sungai tersebut telah dihentikan serta merta dan proses baik pulih sedang berjalan.
Beliau berkata, setakat ini insiden paip utama pecah di sungai tersebut masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak terlibat sekiranya perlu.
“Insiden ini masih dalam siasatan. Apa yang jelas bahawa sekiranya berlaku pelanggaran maka tindakan perundangan akan diambil,” katanya.
Ogos lalu, media melaporkan kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu yang mengakibatkan lebih 150,000 pengguna terputus bekalan air, dipercayai berpunca daripada kerja mengorek pasir di kawasan berkenaan yang dilakukan sejak lima tahun lalu.
Aktiviti itu bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap jajaran paip berkenaan, malah menimbulkan keadaan kurang selesa kepada penduduk di kawasan sekitar yang mendakwa terganggu dengan bunyi bising daripada kerja-kerja tersebut. – Malaysiapost