SEORANG lelaki berusia 56 tahun maut selepas lori muatan baja yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan mendapati lori dipandu lelaki berusia 56 tahun itu bersama seorang kelindan berumur 25 tahun dalam perjalanan dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub, Pahang.
Bagaimanapun, katanya, lori yang dinaiki dua mangsa itu hilang kawalan di selekoh Kilometer 43.5 lalu, sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.
“Saya minta kerjasama saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu serta memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik dan selamat. – Malaysiapost