Pembukaan Pulau Langkawi berita baik buat penggiat industri pelancongan

Pembukaan Pulau Langkawi berita baik buat penggiat industri pelancongan

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat mengikut fasa dapat memberi sinar kepada penggiat industri pelancongan.

Beliau menjelaskan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk menyemarakkan kembali industri yang lama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 memandangkan pulau itu terasing.

Katanya, pemilihan itu juga bagi memudahkan urusan pemantauan, selain pulau tersebut mempunyai kekuatannya tersendiri seperti terdapat rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

“Sekiranya projek rintis Langkawi ini berjalan dengan jaya, saya percaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong kerana seeing is believing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau itu mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembukaan sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat ditetapkan.

Menerusi kenyataan lewat petang tadi, Ismail Sabri dilaporkan berkata, sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.

Katanya, destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

Sementara itu, Nancy menjelaskan pembukaan sektor pelancongan projek rintis Pulau Langkawi bermula 16 September ini adalah satu berita gembira bukan sahaja kepada kementerian, malah penggiat industri yang turut melibatkan pekerja terjejas berikutan penutupan hotel dan restoran akibat pandemik.

“Berita gembira ini juga membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan yang digariskan kementerian dilaksanakan segera,” katanya. – Malaysiapost

Komen