Penyahwartaan hutan simpan: PKR puas hati penjelasan kerajaan Selangor

KERAJAAN Selangor akan menangguhkan proses berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sehingga selesai mempertimbang dan menjelaskan kesemua isu yang dibangkitkan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi kenyataan berkata Biro Politik parti itu berpuas hati dengan penjelasan serta jaminan oleh kerajaan Selangor berhubung isu terbabit.

“Biro Politik menegaskan bahawa keputusan perlu berpegang kepada beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar; urus tadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik.

“Selain itu kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimakan. Ini termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dan badan-badan bukan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Turut memberi penjelasan berhubung isu itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian.

Baru-baru ini Loy Sian dilaporkan berkata, kerajaan Selangor setuju menyahwartakan 536.7ha hutan simpan tersebut untuk dibangunkan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat.

Sementara itu Fahmi memaklumkan mesyuarat juga telah membangkitkan isu cadangan pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Katanya, Menteri Besar telah menjelaskan PJD Link adalah cadangan semula swasta bagi menggantikan projek yang sebelum ini dikenali sebagai Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX), iaitu sebuah projek Kerajaan Persekutuan.

Fahmi menjelaskan, menurut Amirudin kerajaan negeri hanya terlibat dalam isu-isu berkaitan kelulusan tanah.

“Menteri Besar juga telah menjelaskan bahawa pihak PJD Link harus melaksanakan perundingan awam bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berkaitan isu-isu teknikal serta kesan sosial yang mungkin timbul daripada projek ini.

“Beliau memberi jaminan kerajaan negeri belum memberi apa-apa kelulusan berhubung PJD Link, dan pihak PJD Link wajib melalui proses pendengaran awam semula dengan semua pemegang taruh dan harus kembali kepada kerajaan negeri untuk proses seterusnya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights