Polis kumpul maklumat ajaran PMYT

Polis kumpul maklumat ajaran PMYT

POLIS sedang mengumpul maklumat berkaitan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dikembangkan Sittah Annur yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya sedar akan perkara seperti itu dan ia bukan perkara baru.

Katanya, siasatan perlu diteliti dan akan mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya apakah ajaran yang mereka bawa kerana ia membabitkan jabatan lain.

“Saya lihat benda (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita kalau ambil tindakan seperti ini tidak boleh tergesa-gesa dan tidak terburu-buru.

“Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam. Kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Acryl Sani mengulas mengenai laporan berhubung dakwaan Sittah Annur yang mengatakan kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memanggil ketua ajaran kumpulan itu.

“Sabar sedikit dan kita ada cara kita untuk menghadapi perkara ini. Dahulu pun kita berhadapan dengan perkara sama dan kita berjaya mengatasinya.

“Jadi kita ada teknik, ada cara, ada kaedah yang kita laksanakan dalam hal ini. Percayalah kita tidak leka dan kita sentiasa memastikan bahawa ia tidak sampai menimbulkan kerisauan dan keresahan di kalangan masyarakat umum,” katanya.

Ditanya mengenai pengikut ajaran PMYT yang didakwa membabitkan anggota pasukan beruniform, Acryl Sani berkata, pihaknya akan teliti dan semak perkara berkenaan.

“Jika betul, kita akan kenal pasti mereka yang terbabit dan tindakan akan diambil segera. Dalam proses kita menyiasat dan kita akan maklumkan hasilnya selepas segala perkara selesai,” katanya.

Terdahulu, Acryl menyaksikan penyerahan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Idris Abdullah daripada Datuk Hazani Ghazali yang ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA). – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Polis Sabah

Komen