SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita apabila 95 guru KAFA dan enam jurunikah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) enggan menerima vaksin Covid-19.
Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan tersebut bukan sahaja akan membahayakan diri mereka sendiri malah orang ramai termasuk boleh memudaratkan para pelajar.
Baginda bertitah, berdasarkan laporan terperinci diterima daripada Pengarah JAIS difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 orang guru KAFA enggan divaksin.
Titah baginda, bagi pegawai masjid pula didapati seramai 59 orang belum menerima vaksinasi dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian selain sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin.
“Golongan itu sepatutnya mengetahui bahawa suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang yang dijangkiti dengan virus Covid-19 daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.
“Malah, Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin. Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah mereka yang masih berdegil dan enggan menerima vaksin berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Sultan Sharafuddin berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di negeri ini.
Sultan Selangor turut menegaskan baginda difahamkan terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor enggan divaksin.
“Sukacita, Beta mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.
“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan,” titahnya.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.
“Justeru itu, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin. Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan-kenyataan akhbar yang Beta keluarkan,” titah baginda.
Sultan Selangor juga menyeru kepada seluruh rakyat di negeri itu supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat sekelilling. – Malaysiapost