Tukang cuci mengaku tidak bersalah curi tabung masjid

SEORANG wanita yang bekerja sebagai tukang cuci sambilan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas kesalahan mencuri tabung masjid dan wang RM40 bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 28 tahun mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain, lapor Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri mencuri tabung Masjid Sirajuddin, Padang Pauh dan wang RM40 yang terdapat dalam tabung itu pada jam 8.54 malam, 28 Ogos lalu.

Dia dituduh dihukum mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta denda dan jika kesalahan kedua atau berulang, boleh dipenjara dan dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Iman Nor Azmi.

Nur Iman dalam hujahnya berkata, anak guamnya mengaku tidak bersalah disebabkan dia tidak mencuri wang sebanyak RM40 sebaliknya RM28 saja.

Selain itu, Nur Iman memohon mahkamah meringankan jumlah jaminan disebabkan tertuduh mempunyai tanggungan seorang anak kecil berusia empat tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes selain memerintahkan tertuduh membayar RM2,000 sebagai jaminan.

Bagaimanapun dia mengambil keputusan tidak membayar jaminan menyebabkannya ditahan sementara di Pusat Koreksional Perlis sementara menanti tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang wanita disyaki melarikan tabung derma masjid di Padang Pauh.

Suspek ditahan di rumahnya di Arau pada 9.15 malam 29 Ogos lalu manakala tabung itu ditemui dalam tandas di Pasar Beseri.

Wanita itu dikatakan menggunakan wang tersebut bagi mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit manakala ujian saringan air kencing mengesahkan dia positif syabu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights