Isu penyahwartaan HSKLU dibawa ke MMKN minggu depan

ISU berhubung penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 8 September ini, bagi mempertimbangkan hala tuju keputusan berhubung isu berkenaan.

Perkara itu dipersetujui oleh pengerusi parti-parti parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Selangor dalam pertemuan pagi tadi bagi membincangkan isu berkaitan penyahwartaan hutan terbabit.

“Semua pihak telah menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing serta telah bersetuju supaya YAB Dato’ Menteri Besar membawa isu ini dalam MMKN pada Rabu 8 September 2021 untuk dipertimbangkan hala tuju dan keputusan dalam isu ini.

“Pada masa yang sama, bantahan terhadap cadangan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut diberi perhatian dan dibincangkan dengan panjang lebar,” menurut kenyataan PH Selangor, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi PH Selangor dan Menteri Besar Selangor; Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; dan Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim.

Menurut kenyataan itu, PH Selangor mengambil maklum bahawa PJD Link belum diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

“Mesyuarat juga turut bersetuju menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuh raya KIDEX atau seumpama dengannya.

“Pengerusi-pengerusi parti komponen PH Selangor komited dalam menjunjung semua prinsip-prinsip asas PH berkaitan alam sekitar dan agenda kepedulian rakyat sebagai pedoman dan panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights