PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan untuk mengisytiharkan negara memasuki fasa endemik perlu seiring dengan kadar jangkitan dan kematian yang rendah.
Beliau berkata, usaha membendung penularan harus terus dipergiat kerajaan, meskipun rakyat akan diminta menerima hakikat perlu hidup dengan virus berkenaan.
“Kita minta kerajaan tidak memperlahankan usaha mengurangkan kadar jangkitan walaupun selepas mengisytiharkan fasa pandemik Covid-19 telah berakhir.
“Kita harap jangkitan Covid-19 di Malaysia yang mahu diumumkan memasuki fasa endemik seiring dengan kadar jangkitan dan kematian yang rendah,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, memandangkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selepas memasuku fasa endemik, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diperhebat dan diperkasa.
“Tahap ancaman virus Covid-19 dikatakan sudah tidak begitu berbahaya kepada penerima lengkap dos vaksin, namun risiko kesihatan tetap ada.
“Kita tidak mahu begitu ramai penduduk Malaysia jatuh sakit saban hari kerana pada akhirnya ia tetap menjejaskan produktiviti.
“Aktiviti perniagaan boleh terus terganggu apabila kerap wujud kluster di tempat kerja. Terus berpegang pada prinsip “prevention is better than cure”,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan fasa endemik di Malaysia dijangka bermula pada akhir Oktober ini, dengan kadar imuniti kelompok diharap mencapai 80 peratus.
Khairy berkata, rakyat juga perlu menerima hakikat sekalipun negara berjaya mengawal pandemik, semua pihak perlu menerima kenyataan akan tiba masanya nanti Covid-19 menjadi endemik. – Malaysiapost