Kaunter JPJ, Puspakom dibuka dengan kapasiti 100 peratus Isnin ini
KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil inisiatif bagi memudahkan orang ramai dengan pengoperasian semula kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dengan kapasiti 100 peratus bermula 6 September ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pembukaan itu juga membabitkan kaunter rakan strategik JPJ iaitu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“MOT mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai melalui pengoperasian semula kaunter JPJ di seluruh negara dan juga kaunter rakan strategik JPJ, Puspakom.
“Ini dengan kapasiti 100 peratus secara ‘walk in’ mulai 6 September ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu juga adalah bertujuan memastikan orang ramai dapat melaksanakan urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) dengan lancar dalam tempoh yang dibenarkan.
“Saya faham akan ada kesesakan kerana orang ramai sudah diberi kelonggaran selama beberapa bulan sebelum ini dan jika ada keperluan di tempat tertentu kita akan berikan perkhidmatan ini pada hari Sabtu dan Ahad begitu juga bagi negeri yang cutinya pada Jumaat dan Sabtu.
“Kita akan lihat keadaan ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Ka Siong berkata, orang ramai yang ingin berurusan di kaunter berkenaan bagaimanapun perlulah lengkap dua dos vaksin sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan demi kesihatan dan keselamatan orang ramai.
“Ini termasuk juga kakitangan yang bertugas. Pada masa sama pelanggan juga perlu menunjukkan status risiko rendah Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya. – Malaysiapost