Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching kembalikan hak belia

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching kembalikan hak belia

KUMPULAN UndiSarawak bersyukur dengan keputusan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching hari ini berhubung pelaksanaan Undi18 yang memihak kepada mereka.

Dalam kenyataan, UndiSarawak yang dianggotai beberapa anak muda berkata, pihaknya bersyukur terhadap keputusan mahkamah yang disifatkan menghormati hak golongan belia dengan membenarkan pelaksanaan Undi18 menjelang Disember 2021.

“Keputusan yang bersejarah ini amat bermakna buat golongan belia Malaysia kerana mereka boleh menggunakan hak yang dijamin perlembagaan sebagai rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan penurunan had umur mengundi membolehkan 125,000 hingga 135,000 anak muda Sarawak berumur 18 hingga 20 tahun untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan selepas pembubaran DUN setelah berakhirnya Ordinan Darurat di Sarawak.

Wakil kumpulan itu, Ivan Alexander Ong, 19 , berkata, dia amat bersyukur dengan keputusan Hakim Alexander Siew How Wai dan Mahkamah Tinggi Sarawak pada hari ini.

“Keputusan ini membolehkan golongan belia Malaysia mendapatkan hak mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Terutamanya bagi rakyat Sarawak dimana 125,000 hingga 135,000 belia berpeluang untuk mengundi pada pilihan raya negeri akan datang sejurus tamatnya darurat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Undi18 mencipta sejarah kerana ini merupakan pindaan Perlembagaan pertama yang sebenarnya mengembalikan hak mengundi kepada golongan belia telah dipersetujui oleh semua parti politik.

“Menjelang semakan kehakiman ini, matlamat utama kami bukanlah untuk menang semata-mata, sebaliknya kami juga ingin menghantar mesej bahawa penangguhan pelaksanaan RUU Undi18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang dan bersamaan penindasan pengundi.

“Pada pilihan raya akan datang, dijangka kira-kira 8 juta pengundi baharu yang akhirnya mampu mengubah atau menentukan keputusan pilihan raya tersebut. 1.2 juta suara baharu akan didengari, manakala polisi dan reformasi baharu akan berlaku berlandaskan suara-suara baharu ini,” katanya.

Selain itu, merek berharap keputusan kehakiman hari ini boleh dijadikan ‘precedent’ bagi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menjadi piawaian pencapaian belia Malaysia.

Mei lalu, media melaporkan, lima anak muda Sarawak memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching dengan tujuan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang Julai tahun ini.

Kumpulan UndiSarawak berkata penangguhan penurunan usia layak mengundi akan menafikan hak lebih 125,000 belia di negeri itu untuk mengundi dalam PRN Sarawak. – Malaysiapost

Kredit Foto: Dayak Daily

Komen