Pembaharuan lesen, cukai jalan dilanjut hingga 31 Disember

Pembaharuan lesen, cukai jalan dilanjut hingga 31 Disember

TEMPOH pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sepanjang tempoh itu pemilik LKM dan LMM yang sudah tamat tempoh sah, tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, namun pemilik LKM yang tamat tempoh sah masih perlu memastikan kenderaan terbabit dilindungi insurans yang sah, dan memapar serta menunjukkan Sijil Perlindungan Insurans yang sah bagi pemeriksaan.

“Kementerian Pengangkutan amat peka dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan agensi di bawahnya seperti JPJ, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk memberi pelanjutan tempoh pembaharuan LKM dan LMM hingga 31 Disember 2021,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu kenyataan yang dibuat sebelum ini iaitu tindakan penguatkuasaan akan dilakukan bermula Oktober ini tidak akan dilaksanakan.

“Ini melihat kepada situasi pandemik Covid-19 dan kerajaan tidak mahu membebankan rakyat.

“Oleh itu mereka yang tidak memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan yang sepatutnya diberi tempoh sehingga Julai lalu, tidak akan ada masalah anda diberi tempoh hingga 31 Disember ini dan saya akan wartakan perkara ini mengikut akta,” katanya. – Malaysiapost

Komen