Pemuda Umno mahu bawa ‘suara’ pekerja P-Hailing, E-Hailing kepada kerajaan
PEMUDA Umno akan mengadakan satu mesyuarat khas dengan semua kesatuan yang mewakili P-Hailing dan E-Hailing untuk membangkitkan isu kebajikan membabitkan kumpulan itu kepada kerajaan.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mesyuarat khas yang dianjurkan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Selain itu, Asyraf berkata, beliau menerima kunjungan Setiausaha Agong MTUC, Kamarul Baharin hari ini, yang meminta Pemuda Umno membantu membangkitkan isu berkenaan.
“Antara isunya termasuk status pekerja E-Hailing dan P-Hailing yang tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.
“Tiada caruman oleh majikan samada SOCSO ataupun KWSP kerana mereka tidak dikategorikan sebagai pekerja (contract of service), sebaliknya contract for service.
“Tiada insuran yang diambil majikan sehingga mendedahkan mereka terutama P-Hailing seperti penunggang motorsikal GRAB, Lalamove dll kepada risiko kehilangan nyawa dan kecederaan tanpa sebarang pampasan,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, selain itu mereka juga berdepan isu ketiadaan piawaian khas mengenai komisyen yang dibayar majikan sehingga amalan berbeza-beza dan ada kalanya menekan dan berlakunya ketidak-adilan dari segi pembayaran (tiada lantai komisyen).
Beliau berkata, mereka juga memaklumkan bantuan daripada kerajaan juga dikatakan tidak menepati kehendak pekerja sektor berkenaan.
“InsyaAllah Pemuda Umno dan MTUC akan memanggil satu mesyuarat khas untuk digemblengkan satu suara bagi diangkat kepada pihak Kerajaan,” katanya. – Malaysiapost