Ribut petir, hujan lebat dijangka landa Yan minggu ini

Ribut petir, hujan lebat dijangka landa Yan minggu ini

AMARAN waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) susulan jangkaan ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di daerah Yan, Kedah sepanjang minggu ini.

Pengarah MetMalaysia Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, ribut petir dijangka berlaku pada sebelah pagi setiap hari di satu atau dua tempat di daerah itu bermula hari ini sehingga Khamis.

Katanya, selain itu hujan dijangka pada sebelah petang hari ini dan esok.

“Pada sebelah malam pula, hujan dijangka pada malam Isnin dan Rabu manakala ribut petir diramalkan pada malam Selasa.

“Penduduk di sekitar daerah itu dinasihatkan elakkan berada di lokasi bahaya tanah runtuh atau kepala air sekiranya berlaku hujan lebat atau ribut petir dan sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian kedua kepala air di kawasan Titi Hayun, Yan semalam yang menyebabkan arus deras selepas hujan lebat.

Dalam kejadian pada 18 Ogos lalu, enam mangsa meninggal dunia manakala seorang terselamat selepas kepala air melanda kaki Gunung Jerai membabitkan Titi Hayun dan Batu Hampar pada jam 4.30 petang. – Malaysiapost

Komen