Wanita bersalin sendirian tidak patut berlaku lagi – TMJ
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan supaya kejadian wanita bersalin secara bersendirian tidak berulang di masa akan datang.
Tunku Ismail yang juga dikenali sebagai TMJ menerusi ciapan di Twitternya, menegaskan pihak yang terbabit akan diberikan peringatan dan amaran bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pesakit.
“Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan melihat kenyataan JKNJ.
“Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin.
” Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi,” titah baginda.
Terdahulu, tular di Facebook, dakwaan seorang wanita terpaksa melahirkan anak seorang diri di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif Covid-19, selepas usaha untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.
Wanita itu membuat naik status berkenaan di akaun Facebooknya pada 31 Julai, tetapi hanya menjadi tular sejak kelmarin.
Susulan itu, JKNJ berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara itu. – Malaysiapost