SEORANG lelaki warga emas yang memandu Perodua Myvi merempuh papan amaran di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Pondok Polis Chekok, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, warga emas berusia 60 tahun yang mengalami masalah rabun dipercayai memandu dari arah Tanah Merah menghala ke Pasir Mas untuk pulang ke rumahnya di Melor, Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil soal siasat lelaki yang bekerja sebagai petani itu mempunyai masalah rabun akibat selaput pada bahagian mata.
“Semasa tiba di kawasan Chekok hujan yang terlampau lebat menyebabkan lelaki tersebut gagal mengelak papan amaran SJR.
“Selepas menyedari kejadian tersebut lelaki itu meneruskan perjalanan memandangkan keadaan hujan lebat menyebabkan dia tidak dapat berhenti,” katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat diperoleh berkaitan kejadian itu, polis melakukan tangkapan ke atas lelaki tersebut di pekarangan Balai Polis Melor.
“Semasa tangkapan dilakukan polis merampas Perodua Myvi yang digunakan semasa kejadian,” katanya. – Malaysiapost