Zizan saran pergi ke Mekah terlebih dahulu selepas pandemik reda

Zizan saran pergi ke Mekah terlebih dahulu selepas pandemik reda

“JIKA endemik sudah selesa, tolong ada niat untuk pergi ke Mekah,” itu saranan daripada pelawak terkenal Zizan Razak kepada umat Islam di Malaysia.

Menurut Zizan atau nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 37, jika sempadan negara sudah dibuka kelak, seelok-eloknya pergilah menjejak kaki ke Tanah Suci Mekah terlebih dahulu jika berpeluang berbuat demikian.

Katanya, rumah Allah itu seharusnya menjadi destinasi pilihan pertama berbanding dengan lokasi lain di luar negara untuk mereka yang berkemampuan.

“Sangat indah pengalaman ketika menjejakkan kaki ke sana,” katanya dalam satu sesi siaran langsung semalam.

Pelakon Bikers Kental itu juga memberi pendapat agar simpanan wang yang dibuat untuk melancong ke luar negara, sebaik-baiknya digunakan untuk mengerjakan ibadah umrah terlebih dahulu.

“Bayangkan kita penat untuk simpan RM5,000 tetapi dapat saja duit, pergi Korea, Jepun atau Australia dulu.

“Tidak salah pun perkara itu namun kenapa kita mampu simpan duit sebanyak itu tetapi tidak ke rumah Allah dulu?,” ujarnya.

Dalam masa sama, Zizan meminta agar orang ramai tidak terlalu terpengaruh dengan kisah-kisah negatif dan juga kononnya pengalaman tidak baik seseorang itu ketika di Tanah Suci Mekah.

“Orang kita sering dimomok-momokkan dengan cerita negatif pengalaman orang lain. Sebab itulah sebelum pergi solat taubat.

“Sentiasalah bersangka baik dengan Allah, pasti dia akan berikan yang terbaik untuk hamba-Nya,” katanya.

Zizan berkongsi keindahan pengalamannya ketika berada di Mekah kerana dirinya sendiri pernah menunaikan umrah dan menyambut Aidilfitri di Tanah Suci tiga tahun lalu. – Malaysiapost

Komen